Rentap: Pejuang kaum Iban

Pada hari ini saya akan menceritakan tentang Rentap. Rentap bermaksud Penggoncang Bumi. Rentap merupakan seorang pejuang Sarawak ketika penjajahan James Brooke di Sarawak sebelum Sarawak merdeka. Rentap(lahir Libau anak Ningkan, atau Libau Rentap; meninggal 1870) merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah negeri Sarawak. Rentap mendapat pengalaman berperang daripada pernyertaannya dalam ekspedisi-ekspedisi perang yang diketuai oleh Orang Kaya Pemamcha Dana "Bayang" terutamanya ke kawasan-kawasan di sekitar muara Batang Kapuas di Kalimantan Barat, Indonesia.




Penentangan Rentap
Rentap dan pengikut-pengikutnya menentang pemerintahan James Brooke kerana Rajah Sarawak itu tidak menghormati mereka selaku orang tempatan di kawasan mereka. Oleh sebab itu, Rentap dan pengikutnya berusaha sedaya upaya untuk menentang pihak James Brooke.

Pertempuran
Karangan Peris dalam daerah Skrang, 19 Ogos 1844- Rentap bersama pasukannya telah bertempur dengan pasukan Rajah James Brooke dan Kapten Keppel daripada Tentera Laut DiRaja Inggeris. Pada pertempuran itu, antara yang terkorban daripada pasukan Brooke ialah Datu Patinggi Ali dan pasukan perisiknya dari Sarawak yang telah mara terlebih dahulu daripada pasukan utama kecuali hanya seorang yang masih hidup dan seorang Inggeris bernama George Steward. Rentap juga bertempur dengan pihak James Brooke di Batang Meru.

Selepas pertempuran di Batang Meru, pihak James Brooke telah membina sebuah kubu di  Nanga Skrang dengan tujuan menyekat pergerakan orang-orang Skrang ke arah Batang Lupar dan seterusnya keluar ke Laut China Selatan bagi mengamalkan kegiatan mengayau kepala manusia dan membeli barangan keperluan seperti garam atau menentang pemerintahan Brooke di Sarawak pada ketika itu.

Rentap dan pengikutnya kemudian menyerang kubu James Brooke di Nanga Skrang. Pertempuran diantara kedua-dua belah sangat sengit. Dalam pertempuran ini, William Brereton berjaya dicederakan oleh pengikut Rentap. Akhirnya, Rentap dan pengikutnya terpaksa berundur semula ke hulu Sungai Skrang. Walau bagaimanapun, pihak Brooke telah membakar dan memusnahkan 20 buah rumah panjang yang merupakan tempat tinggal pengikut Rentap.

Mereka akhirnya berundur dan membina tempat kediaman di Sungai Lang iaitu di hulu Sungai Skrang.  Semasa mempertahankan kubu ini, pasukan Rentap telah melaung-laungkan semangat perjuangan mereka yang kental iaitu "Agi Bedarah, Agi Ngelaban” yang bermaksud "Selagi masih berdarah, Selagi itulah melawan" dan slogan yang paling terkenal hingga ke hari ini ialah “Agi Idup, Agi Ngelaban” yang bermaksud "Selagi Hidup, Selagi itulah melawan". Namun, angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap ini pada Ogos 1854 kerana tembakan meriam merobohkan pagar kayu di sekeling rumah mereka dan pasukan Rentap hanya ada bedil kecil sahaja untuk membalas tembakan meriam. Rentap sendiri telah tercedera semasa pertempuran ini. Oleh itu, Rentap dengan sebilangan pengikut beliau berundur dan membina kubu di sebuah bukit yang bernama Bukit Sadok.

Bukit Sadok. Kubu di Bukit Sadok ini sukar ditembusi kerana kedudukannya di atas puncak bukit yang tinggi dan dikelilingi oleh tebing-tebing curam yang sukar untuk didaki. Sekeliling kubu ini diperkuat oleh pagar kayu tebelian yang keras dan setebal dua kaki. Rentap juga ada sebatang meriam yang besar untuk mempertahankan kubu ini yang dikenali sebagai "Bujang Timpang Berang". Meriam ini telah dibawa oleh rakan seperjuangannya iaitu Aji Apai Limba yang merupakan anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana "Bayang". Aji telah terkorban setelah ditembak oleh pasukan Brooke di Sungai Langit sebelum menyerang Rentap di kubunya di Bukit Sadok.

Pihak Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap. Percubaan pertama dan kedua gagal selepas bedilan dari meriam pihak Brooke tidak mampu untuk menembusi pagar di sekeliling kubu itu. Pihak Rentap mencabar pihak Brooke agar membawa meriam yang lebih besar. Akhirnya, mereka membawa satu meriam besar yang dinamakan "Bujang Sadok" untuk bertempur dengan pasukan Rentap. Sebelum pertempuran ini, pasukan Brooke telah menawarkan pengampunan kepada abang-abang arwah Aji yang telah ditembak mati oleh pasukan Brooke di Sungai Langit iaitu Nanang dan Luyoh supaya mereka menyerah diri dan dihukum membayar 40 biji tempayan rusa. Tawaran yang sama dicadangkan kepada Rentap dengan denda 12 biji tempayan, musnahkan kubu Bukit Sadok dan meninggalkan kubu itu dengan segera. Namun begitu, Rentap dan pasukannya tetap dengan pendirian mereka.

Sebelum pertempuran, wanita dan kanak-kanak telah dipindahkan. Ketika pertempuran ramai pengikut Rentap, terutamanya pengendali meriam, terkorban setelah terkena bedilan "Bujang Sadok". Seterusnya, kubu dan rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya dibakar oleh pasukan Brooke pada 20 Oktober 1861.

Akan tetapi, Rentap telah berundur ke Bukit Lanjak Entimau yang menjadi punca air Batang Skrang, Lemanak dan Engkari. Kemudian, beliau turun ke Ulu Entabai iaitu sebuah sungai cawangan kepada Sungai Kanowit dan Julau di mana beliau membina sebuah kubu di Bukit Stulak. Pada usia tuanya, Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ pada usia lebih kurang 70 tahun. Mayat dan keranda Rentap tidak ditanam dalam tanah seperti biasa tetapi diletakkan dalam sebuah pondok sebagai tanda hormat kepada seseorang yang dianggap seorang pahlawan dan bangsawan. Setelah daging mayat beliau telah habis reput, tulang-tulang kerangka beliau telah disimpan di dalam tempayan oleh kerabat keluarga beliau. Inilah tanda pernghormatan yang paling tinggi untuk seseorang yang telah berjasa.

Rentap merupakan pejuang sejati kerana beliau tidak pernah tunduk kepada pemerintahan Brooke sehingga ke akhir hayatnya. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah dibaik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1863.

Image result for bujang sadokBujang Sadok

No comments

Powered by Blogger.